Sesi Khidmat Nasihat Dan Bantuan Teknikal Berkaitan Geospatial Kepada Kementerian Industri Utama (MPI)
Pada 17 Jun 2019, MaCGDI, KATS telah berkunjung ke Kementerian Industri Utama (MPI) bagi menyantuni undangan Kementerian tersebut untuk melihat skop khidmat nasihat serta bantuan teknikal berkaitan geospatial daripada MaCGDI dalam pengurusan tanaman komoditi terutamanya sawit. Penghasilan peta dan maklumat geospatial tanaman komoditi telah dikenal pasti sebagai salah satu elemen penting dalam membantu memajukan industri komoditi yang berupaya memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Lawatan kerja ini telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MPI, YBhg. Dato’ Dr. Tan Yew Chong. Turut hadir adalah barisan pengurusan tertinggi MPI yang terdiri daripada Timbalan Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian Kanan dan Setiausaha-setiausaha Bahagian. Manakala pasukan MaCGDI telah diketuai oleh Puan Hajah Abrizah binti Abdul Aziz selaku Pengarah.
Pada sesi ini, MaCGDI telah berpeluang menerangkan dengan lebih terperinci mengenai peranan MaCGDI sebagai agensi penyelaras perkongsian maklumat geospatial di Malaysia di bawah Program MyGDI.
Selain itu, MaCGDI turut membentangkan hasil kejayaan dan kolaborasi bersama agensi lain yang dibangunkan melalui aplikasi MyGOS. Sesi ini berjalan lancar dan diakhiri dengan perbincangan lanjut bersama YBhg. Dato’ Dr. Tan memandangkan beliau pernah mentadbir KATS sebelum ini sebagai Ketua Setiausaha.
Secara keseluruhannya, MaCGDI ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga dengan jemputan MPI dan diharap agar kunjungan sesi khidmat nasihat dan bantuan teknikal ini membawa kepada satu bentuk kerjasama yang kukuh dan mantap di antara kedua-dua Kementerian di masa hadapan.
Klik di sini untuk galeri gambar.